Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) mengalu-alukan usaha Kementerian untuk memperkenalkan pelabelan pemakanan mandatori untuk pelbagai jenis makanan. Pada masa yang sama ia juga dapat menjelaskan syarat-syarat untuk membuat tuntutan pemakanan. Kami akan bekerjasama rapat dengan pihak Kementerian Kesihatan dalam usaha untuk memberi penerangan kepada badan-badan yang berminat mengenai undang-undang baru tersebut dan juga dalam pelaksanaan undang-undang berkenaan secara lancar. Satu siri aktiviti telah dirancang, termasuk kempen kesedaran di kalangan komuniti bagi memastikan faedah yang besar dapat diperolehi melalui pelabelan makanan. image_resized Harap ambil perhatian bahawa berikut merupakan interpretasi saya sendiri mengenai cadangan undang-undang baru yang telah diedarkan untuk ulasan umum. Ianya tidak semestinya versi yang muktamad undang-undang yang akan diwartakan. Dr Tee E Siong Presiden, Persatuan Pemakanan Malaysia dan Pengerusi, Kumpulan Kerja Pemakanan, Tuntutan Kesihatan dan Pengiklanan Nota: keseluruhan artikel ini dan juga versi Bahasa Inggeris di dapati di laman web Persatuan Pemakanan Malaysia, iaitu http://nutriweb.org.my Nilai Rujukan Nutrien (NRV) dan Saranan Pengambilan Malaysia (RDA)*Teoh (1975)
Bahagian A: Pelabelan pemakanan
Apa yang dimaksudkan dengan pelabelan pemakanan ? Pelabelan pemakanan adalah keterangan mengenai tahap atau kandungan nutrien yang terdapat pada label makanan. Ianya merupakan akuan yang benar mengenai kualiti pemakanan bahan makanan tersebut.
Apakah tujuan atau faedah pelabelan pemakanan kepada pengguna? Pelabelan pemakanan bertujuan untuk menyediakan satu cara penyampaian maklumat mengenai kandungan nutrien (zat makanan) pada label setiap makanan yang dikeluarkan. Dengan ini, ianya dapat membantu pengguna membuat pemilihan makanan yang bijak. Ia merupakan satu cara untuk memberitahu pengguna mengenai kualiti pemakanan sesuatu bahan makanan. Selain itu, pelabelan pemakanan turut menyokong aktiviti pendidikan pemakanan kerana ia menggalakkan penggunaan prinsip pemakanan yang kukuh dalam pemilihan makanan dan penyediaan hidangan.
Adakah pelabelan pemakanan turut memberi faedah kepada industri makanan? Ya, pelabelan pemakanan memainkan peranan yang sama penting dan berfaedah kepada industri makanan. Pelabelan pemakanan membolehkan pengeluar makanan dan peruncit untuk mengutamakan kandungan zat makanan dalam setiap produk yang dikeluarkan kepada pengguna secara faktual. Ini akan menggalakkan pengeluar makanan untuk menjadi lebih prihatin terhadap kepentingan mengeluarkan makanan yang berkhasiat.
Tidakkah pelabelan pemakanan telah terkandung dalam peraturan makanan sekarang? Terdapat beberapa produk dalam pasaran yang mempunyai pelabelan pemakanan. Di bawah peraturan makanan sekarang yang dikenali sebagai Peraturan Makanan Malaysian 1985, ianya tidak mewajibkan pelabelan pemakanan pada label makanan. Peraturan yang sedi ada hanya mewajibkan makanan yang tertentu sahaja untuk mengadakan pelabelan pemakanan. Makanan itu adalah “makanan yang bertujuan khusus” dan termasuk susu formula bayi dan makanan berasaskan bijirin untuk bayi dan kanak-kanak. Selain itu, makanan yang diperkaya atau ditambahkan dengan vitamin atau mineral tertentu perlu ada akuan mengenai jumlah nutrien pada labelnya.Bagi makanan di pasaran yang mempunyai pelabelan pemakanan, ia diletakkan secara sukarela oleh pengeluar. Walau bagaimanapun, tidak terdapat sebarang persamaan dari segi format untuk memperakukan kandungan nutrien dalam makanan. Kadang-kala terdapat kesilapan pada pelabelan nutrien itu.
Bagaimana dengan undang-undang makanan di negara lain? Adakah pelabelan pemakanan ini diwajibkan di negara lain? Di kebanyakkan negara, pelabelan pemakanan tidaklah mandatori (diwajibkan). Banyak diantara negara ini sedang mengkaji keperluannya. Di Singapura sebagai contohnya, garis panduan untuk pelabelan pemakanan telahpun dicadangkan tetapi sehingga kini penggunaan pelabelan pemakanan masih dilakukan secara sukarela. Begitu juga di Thailand, pelabelan pemakanan adalah tidak diwajibkan, melainkan jika tuntutan pemakanan dibuat mengenai bahan makanan itu.Di Amerika Syarikat, pelabelan pemakanan adalah diwajibkan bagi hampir semua makanan di pasaran yang diperoses.
Adakah cadangan peraturan oleh Kementerian Kesihatan ini sama dengan garis panduan antarabangsa? Ya, cadangan peraturan yang dikeluarkan ini adalah mengikut garis panduan Codex Alimentarius, satu organisasi usahasama Pertubuhan Makanan dan Pertanian dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (FAO/WHO). Walau bagaimanapun, terdapat juga perbezaan pada beberapa perkara yang terpaksa dibuat bagi memenuhi keperluan dan keadaan kita di sini.
Apakah aspek utama yang terdapat dalam cadangan peraturan makanan baru ini yang berkait dengan pelabelan pemakanan? Terdapat dua aspek utama dalam peraturan yang dicadangkan: (a) cadangan untuk mewajibkan (mandatori) pelabelan pemakanan pada beberapa jenis makanan; (b) menetapkan keperluan dan syarat bagi membuat tuntutan pemakanan bagi bahan makanan.
Di bawah undang-undang yang baru dicadangkan, apakah makanan yang perlu ada pelabelan pemakanan ? Bahan makanan seperti yang ditetapkan dalam peraturan 64 hingga75, 84 hingga 87, 89 hingga 99. 113, 149, 151, 161, 220, 233 hingga 242, 344, 345 dan 348 hingga 358 Peraturan Makanan Malaysia 1985.Ini termasuk makanan bijirin yang diproses; pelbagai jenis roti; pelbagai jenis susu dan susu tepung, termasuk susu pekat manis, susu sejat dan susu yang dikultur; daging dalam tin; ikan dalam tin; sayuran dalam tin; buah dalam tin dan pelbagai jenis jus buah-buahan; kuah salad dan mayones; pelbagai jenis minuman ringan termasuk minuman botanikal, susu kacang soya dan minuman kacang soya.
Apakah alasan yang digunakan dalam memilih makanan tersebut untuk mewajibkan pelabelan pemakanan ? Kriteria utama yang digunakan dalam pemilihan makanan tersebut untuk diwajibkan pelabelan pemakanan ialah: kekerapan produk makanan itu digunakan, jumlah kuantiti yang dimakan dan kepentingan produk tersebut kepada komuniti
Nutrien apakah yang perlu dipaparkan pada label produk makanan tersebut ? Terdapat 4 jenis nutrien yang diwajibkan pada pelabelan jenis-jenis makanan yang tersebut di atas iaitu tenaga, protein, karbohidrat dan lemak.
Bagaimanakah cara yang sepatutnya untuk melabel nutrien berkenaan, iaitu apakah format yang harus digunakan ? Maklumat mengenai nilai tenaga perlu diberikan sebagai kkal (kilokalori) setiap 100 g atau setiap 100 ml makanan atau setiap bungkus makanan jika bungkusan itu hanya terdiri dari satu hidangan. Selain itu, nilai tenaga juga perlu diberi untuk setiap hidangan (serving) seperti yang dinyatakan pada label. Selain dari kkal, nilai tenaga boleh diberikan sebagai kJ.Maklumat mengenai dengan jumlah protein, karbohidarat dan lemak dalam makanan perlu dinyatakan dalam setiap 100 g atau setiap 100 ml atau setiap bungkus jika bungkusan itu hanya terdiri dari satu hidangan. Maklumat tersebut perlu juga diberi bagi setiap hidangan yang dinyatakan pada label makanan.Untuk makanan yang diterangkan dalam perundangan 349 hingga 356 (minuman ringan), jumlah kandungan gula yang terdapat dalam makanan perlu dinyatakan seperti berikut:Jumlah gula ……g.
Bagaimana jumlah tenaga dalam makanan dikira ? Tenaga yang terdapat dalam makanan dikira seperti berikut:[gram lemak dikali dengan 9] + [gram protein dikali 4] + [gram karbohidrat dikali 4] + [gram alkohol (jika ada) dikali 7] + [gram asid organik (jika ada) dikali 3] + [gram gentian diet (jika ada) dikali 2].
Selain daripada 4 jenis nutrien tersebut, bolehkah nutrien lain turut dinyatakan pada label? Selain daripada 4 jenis nutrien tersebut, bolehkah nutrien lain turut dinyatakan pada label.
Jika ya, apakah keadaan yang membolehkan nutrien pilihan ini diterangkan pada label ? Kandungan vitamin dan mineral boleh diterangkan pada label dengan syarat vitamin dan mineral ini:a) terdapat dalam senarai Nilai Rujukan Nutrien (Nutrient Reference Value) (NRV) atau dengan kelulusan secara tertulis dari Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan Malaysia; danb) terdapat dalam makanan itu sekurang-kurangnya 5% NRV dalam satu hidangan seperti dinyatakan pada label.
Apakah format yang harus diikuti untuk pelabelan nutrien pilihan ini ? Format pelabelan untuk vitamin dan mineral adalah sama dengan 4 jenis nutrien yang utama. Ianya perlu diterangkan dalam unit metrik setiap 100 g atau setiap 100 ml atau setiap bungkus jika bungkusan itu hanya terdiri dari satu hidangan. Maklumat ini juga perlu diberi dalam bentuk setiap hidangan seperti yang dinyatakan pada label. Selain itu, informasi ini boleh juga diberikan sebagai peratusan Nilai Rujukan Nutrien (Nutrient Reference Value) (NRV) setiap 100 g atau setiap 100 ml atau setiap bungkus jika bungkusan itu hanya terdiri dari satu hidangan.
Di bawah syarat atau keadaan apakah pelabelan nutrien pilihan ini menjadi mandatori ? Bila sesuatu makanan itu membuat akuan/tuntutan pemakanan, pelabelan pemakanan adalah diwajibkan dan kandungan semua nutrien yang dibuat tuntutan pemakanan hendaklah juga dinyatakan. Rujuk kepada tuntutan pemakanan seterusnya dalam artikel ini.
Selain vitamin dan mineral, apakah nutrien atau komponen lain yang boleh dilabel ? Kandungan gentian diet (dietary fibre), asid lemak dan kolesterol merupakan nutrien pilihan lain yang boleh dinyatakan pada sesuatu label makanan.
Di bawah keadaan apakah yang mewajibkan asid lemak dilabel ? Apabila tuntutan dibuat mengenai jumlah dan/atau jenis asid lemak, kandungan setiap jenis asid lemak yang terkandung dalam makanan itu mestilah dilabel. Dengan lain kata, kuantiti asid lemak yang tepu, mono-taktepu dan poli-taktepu dan asid lemak trans (saturated, monounsaturated, polysaturated and trans fatty acid) perlu dinyatakan mengikut format berikut:Lemak ….. gAsid lemak mono-taktepu ….. gAsid lemak poli-taktepu ….. g Asid lemak tepu ….. g Asid lemak trans ….. g
Apakah cara yang betul untuk melabelkan paras kolesterol dan gentian diet ? Jumlah kolesterol yang terkandung dalam makanan hendaklah diberikan dalam bentuk mg setiap 100 g atau setiap 100 ml atau setiap bungkus jika bungkusan itu hanya terdiri dari satu hidangan. Gentian diet (dietary fibre) hendaklah dinyatakan dalam bentuk g setiap 100 g atau setiap 100 ml atau setiap bungkus jika bungkusan itu hanya terdiri dari satu hidangan. Sebagai tambahan, maklumat ini perlu juga diberi dalam bentuk setiap hidangan seperti yang dinyatakan pada label
Bolehkah jumlah nutrien dinyatakan mengikut peratusan saranan pengambilan harian (RDA atau RDI) ? Jumlah nutrien tidak boleh dinyatakan mengikut peratusan saranan pengambilan harian (RDA atau RDI). Peraturan yang dicadangkan akan mengikut apa yang disarankan oleh Codex iaitu dengan menyatakan jumlah nutrien sebagai peratusan Nilai Rujukan Nutrien (Nutrient Reference Value) (NRV).
Mengapa jumlah nutrien dinyatakan sebagai NRV dan tidak sebagai peratus RDI atau RDA ? RDA atau RDI berbeza antara satu negara dengan negara yang lain. Penggunaan peratusan nutrien mengikut RDI atau RDA boleh menimbulkan masalah kepada pengeluar makanan yang terpaksa mengubah nilai yang digunakan mengikut negara yang berlainan. Oleh yang demikian, Codex telah mencadangkan penggunaan NRV di mana nilainya telah disarankan untuk kegunaan seluruh dunia.
Apakah perbezaan antara NRV dengan RDI atau RDA ? Sebenarnya tidak terdapat banyak perbezaan antara keduanya. Seperti dapat dilihat dari jadual di bawah yang berbandingkan nilai bagi NRV dan RDA, angka bagi kedua-dua ini adalah hampir sama.
NRV RDA
Vitamin A (ug) 800 750
Vitamin D (ug) 53 NA
Vitamin C (mg) 60 30
Thiamin (mg) 1.4 1.0
Riboflavin (mg) 1.6 1.5
Niasin (mg) 18 16.7
Vitamin B6 (mg) 2 NA
Asid folik (ug) 200 200
Vitamin B12 (ug) 1 NA
Kalsium (mg) 800 450
Magnesium (mg) 300 NA
Zat besi (mg) 14 9
Zink (mg) 15 NA
Iodin (ug) 150 NA